Saturday, September 24, 2011

:: E-novel Terbaru Saya ::


Diari Hijau Epal

'Dia hanya manusia biasa yang sering disisihkan'

Sebuah cerita pesimis masyarakat, kehidupan sosial dan nikmat-nikmat yang telah jauh menyimpang.


Sinopsis ringkas :

Erzat Mikael lelaki lembut disisihkan oleh keluarga dan masyarakat.
Sudah letih dia bertanyakan kepada diri sendiri mengapa dia diperlakukan sebegitu.

Adakah kerana dia lelaki lembut? Dia hanya manusia yang tidak pernah lari dari khilaf. Manusia itu sama sisinya di sisi Allah. Hanya iman dan amal yang menentukan beza manusia.

Tanpa sedar pertembungannya dengan Nasrin, Nasrul, Razmi dan Arman adalah kunci kepada kehidupan silam Khalid Ali bersisi gelap dan mengapa Erzat dibenci.

Siapakah Khalid Ali yang sebenarnya? Apa kaitannya Kelly Ellya dan Diari Hijau Epalnya itu dengan Liza? Siapa sebenarnya Dania di hati Erzat?








:: Main Tulis ::


Salam!

Ini entri kosong, yang isinya hanya biasa-biasa sahaja.
Cuma nak bagitahu, midterm test dah makin mendekat dan banyak hal lain juga perlu disiapkan.

Semoga semuanya akan berjalan dengan lancarnya, biarpun saya ni demam, tekak perit dan lemau semacam je.

Ohh..sebenarnya dah nak habis pon entry ni.

Salam

TERIMA KASIH, buat yang menyinggah kejap dan membacanya.
:)













Friday, September 23, 2011

:: Terasa-rasa ::


Assignment semakin berlambak
*** berlapis-lapis
*** berlipat-lipat

Badan pulak semakin;
### sakit-sakit
### lenguh-lenguh
### lemau semacam!

Kepala dah rasa;
+++ berat; bagai dihempap
+++pening; bagai dipusing

Ini dugaan.
Ini ujian.
Allah masih sayangkan kau!
Kalau tidak Dia takkan duga.
Biarkan kau senang,
Dan penyudahnya, kau akan lupa diri sesangat !

.Positif Amer.









Saturday, September 17, 2011

Rumah Hasanah Beranang, Selangor

Entri yang ini pun sama juga, beberapa minggu sebelum ini yakni ketika berlansgug bulan ramadhan. Saya mengikuti pula program yang dianjurkan oleh Prostar Unisel ke pusat penjagaan rumah orang tua di Beranang, Selangor.














Ia antara pengalaman yang bermakna dan seronok apabila dapat mereka secara dekat, yang selama ini saya selalu tengok di kaca televisyen ataupun dada akhbar. Bertambah mengujakan apabila kami datang melawat orang tua yang penghuninya adalah lelaki, kami disambut dengan mesra dan dan diberikan taklimat ringkas mengenai usul-asal rumah penjagaan ini.
































Gambar diatas ini, antara yang menyertai kerja amal ini. Terdiri daripada pelajar unisel sendiri dan adik-adik dari sekolah menengah di Kelang. Semuanya berasa gembira apabila ada di sana dan tidak berasa kekok dengan suasana yang baru lagi, kerana penghuni di sana semuanya ceria-ceria dan semangat belaka walaupun bulan ramadhan.


Ini adalah sebahagian penghuni yang sempat kami jumpa dan bertegur sapa. Rata-rata diantara kami memanggil mereka dengan panggilan atuk.

panggilan atuk lebih mesra dan mendekatkan kami dengan mereka. Ternyata, mereka sangat peramah sekali saat pertama kali bertemu.

Tiada kekok tiada janggal dalam perbualan dan boleh menceritakan apa sahaja cerita yang mahu kami dengarkan meskipun usia perkenalan kami terlalu muda.

Atuk pada gambar sebelah kanan ini, mengikut sumber tertentu, beliau adalah penyanyi lewat zaman Tan Sri P. Ramlee.

Mendengarkan suaranya mendendangkan lagu-lagu lama, membuatkan saya terdiam sejenak.

Suaranya masih sedap dan enak didengar biar jenis apa pun lagu yang dinyanyikannya. Namun, setiap kali atuk ini menyayikan lagu, saya merasakan ada rasa sendu yang menyarati setiap nada yang dilontarkan.


dalam berkerja tu, kami sempatlah berehat sekejap sambil mendengar nyanyian atuk ni. dengar atuk ni nyanyi, mendayu-dayu membuatkan semuan yang berasa di situ terbuai-buai seketika.





























Gambar-gambar yang sempat diambil ketika mereka sedang melakukan kerja pembersihan di rumah penjagaan itu.

Ada yang asyik, sempat beraksi dan menatap hasil seni kreatif yang dihasilkan oleh penghuni di sana.

Barang-barang perhiasan yang dihasilkan oleh mereka semuanya canti-cantik belaka dan sedia untuk dijual pada harga yang sangat berpatutan.


Kerja pembersihan ditamatkan dengan berbuka puasa bersama dengan penghuni Rumah Hasanah. Seronok menikmati makanan yang ada bersama mereka, yang nyata sekali pandai berjenaka hingga membuatkan kami asyik tersenyum sahaja.

Sekitar pukul 8.30, kami semua beransur pulang. Ia menyedihkan apabila terpaksa berpisah dengan mereka semua dan kami tinggalkan mereka dengan satu janji, bahawa kami akan kembali lagi ke sini pada tahun hadapan.

Semua pulang ke Unisel dengan membawa segala kenangan indah yang boleh dirakam sehingga bila-bila. Terima kasih atas nikmat ini.



Monday, September 12, 2011

:: CATATAN HOMELESS di KUALA LUMPUR ::


Beberapa minggu sebelum ini, dalam bulan ramadhan saya saya diberikan kesempatan yang jarang sekali saya dapatkannya pada ketika itu.

Asalnya saya dan ahli kelas sosiologi yang lain sudah memutuskan untuk menjadikan ‘homeless’ sebagai final projek kami nanti.

Sebelum itu final projek itu Rara, rakan dari corporate communication ada mengajak saya dan rakan-rakan yang lain untuk merasai pengalaman itu terlebih dahulu sebelum kami melakukan dalam final projek nanti.

Apa yang berada dalam fikiran saya, ia satu pengalaman yan tak semua orang dapat dan sata tidak patut melepaskannya!

Saya bersama dengan rakan-rakan dari journalism dan corporate communication pergi ke sana seperti yang dijanjikan.

11.30 kami memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur dan sampai sana sekitar jam 12.30 pagi. Ketika itu hujan membasahi segala yang ada di Kuala Lumpur tatkala aktiviti jualan menjelang raya masih galak berterusan. Kuala Lumpur tdak pernah tidur walaupun hujan melanda ketika itu.



Rakan-rakan yang menyertai program homeless:
Dari kiri, Fafa.Sara.Muhamad.Ada.Afaf dan Rara.

Dalam renyai hujan, aktiviti yang dirancang berjalan seperti biasa. Bukan kami sahaja, ramai lagi orang awam yang sanggup menjadi sukarelawan. Sepatutnya saya gembira tentang itu kerana masih ada lagi manusia yang prihatin.

Kami diberikan taklimat mengenai aktiviti yang hendak dijalankan. Malam itu kami akan memberikan makanan kepada mereka. kami dibahagikan mengikut tugasan dan selebihnya kami diarahkan untuk bercampur-gaul dengan mereka.

Oh,terkejut dan tak tahu nak buat apa masa diarahkan sebegitu. Melihat ramai gelandangan yang sedang beratur untuk mendapatkan makanan untuk diagihkan, saya jadi kaku dan teragak-agak untuk melakukan seperti apa yang mereka sarankan.

Mula-mula saya kelu, tegak bagai patung dan melihat saja gelandangan beratur mengambil makanan. Ketika itu, saya, Muhamad dan Haziq mengambil langkah awal dengan memasuki kelompok gelandangan yang sedang menikmati makanan.




Seperti yang anda lihat, itulah mereka. Dan kami dipecah-pecahkan untuk bergaul dengan mereka dan tanya mereka dengan soalan yang wajar.

Sejujurnya, mereka biasa seperti kita sebenarnya. Tiada beza pun dengan kami walau sekelumit pun. Meskipun ia hanyalah sebagai persedian untuk final projek nanti, saya jadi gamam sendiri.
Pertama kali melihat mereka secara dekat membuatkan saya menilai diri sendiri. Sepatutnya saya berasa lebih syukur dengan nikmat yang saya miliki sekarang ini berbanding dengan mereka.

Terkadang saya tidak bersyukur dengan apa yang saya miliki dan terkadang juga saya meminta lebih dari apa yang sepatutnya. Saya akui, sememangnya manusia tidak pernah berpuas dengan apa yang dia miliki. Mungkin saya akan merasakan impak yang besar andai apa yang saya miliki bukan milik saya lagi.

Apakah rasanya ketika detik itu berlaku kelak?

Mereka mungkin tiada apa-apa. Mereka mungkin hanya biasa sahaja. Ternyata, mereka tidak pernah malu untuk menjadi seadanya mereka. Malah mereka sangat ramah dengan kami, seperti kami sudah lama berkenalan.

Antara detik yang sangat terkesan di hati saya ialah ketika saya melihat seorang tua memegang pinggan plastik ketika mahu duduk bersila di kaki lima. Saya melihat, ada makanan yang jatuh di lantai dan pakcik itu tidak malu untuk mengambil dan meletakkan kembali dalam pinggannya meskipun yang makanan yang jatuh ke lantai hanyalah potongan sayur kubis. Bukannya daging bukannya ayam.





Abang ini antara yang saya temui ketika program itu dijalankan. Mula-mula saya memang takut untuk menegur mereka. Pertama, mereka tengah makan dan kedua, mereka mungkin akan agresif apabila diajak berbual.

Ternyata tanggapan saya meleset. Abang ini sangat mudah untuk diajak berbual saat pertama kali saya menyapanya. Apa yang saya tahu, abang ini baru sahaja menjejaki Kuala Lumpur lapan bulan yang lalu. Asal abang ni dari Besut, Terengganu datang ke sini untuk mencari kerja.

Cerita abang ini lagi, dia mempunyai saudara-mara di sini (Kuala Lumpur dan Klang). Tetapi apabila saya bertanya kepadanya mengapa dia tidak menghubingi sahaja saudara-maranya sejak awal-awal lagi dia sampai,dia hanya tersenyum sahaja dan mengatakan yang dia tidak mahu menyusahkan saudara-maranya. Baginya, biarlah dia bersusah-payah sendirian dari mengadu masalah kepada mereka.

Saya terdiam mendengar alasan abang itu dan bagi pihaknya mungkin itulah alasan yang paling wajar mewakili dirinya.

Apa yang saya suka mengenainya adalah abang ini sangat peramah bila diajak berbual dan murah dengan senyuman!



Pakcik juga saya temui dan sempat berbual dengannya. Wajah jujurnya membuatkan saya cepat merasa kasihan. Menurutnya, sudah empat puluh tahun sejak dia muda lagi. Pakcik ini tidak pernah berkahwin apatah lagi berkeluarga. Saya terkejut waktu itu kerana saya menyangka yang pakcik ini mungkin sudah berkahwin ataupun mempunyai anak-anak.


Ini antara yang sempat rakan-rakan saya menyapa seorang pakcik. Saya tidak tahu apa yang mereka bualkan, tapi yang pasti setiap bicara yang diluahkan pasti akan terkandung dengan cerita yang tersendiri dan telinga yang mendengarnya akan menafsir mengikut perasaan masing-masing.


Malam itu, ia berakhir dengan kesan yang dalam di hati mereka. Dan membuat saya terfikir apa yang akan terjadi kepada mereka kelak. Kami mendaftar sebagai sukarelawan bagi program berbentuk begini , kerana bagi saya, saya ingin lagi berjumpa dengan mereka dan mendengar setiap kisah daripada mereka.

Saya tidak ada apa-apa untuk diberikan kepada mereka. Tapi saya punya mata untuk memandang mereka, saya punya telinga untuk mendengar kisah-kisah hidup mereka, saya punya tangan untuk memberikan dan menghulurkan kepada mereka, saya punya mulut untuk bercakap dan memberi kata-kata semangat kepada mereka dan saya juga punya tenaga untuk membantu sukarelawan yang lain mendekati mereka.

detik itu indah dan sangat bermakna. Saya ingin melalui dan rasakan saat itu lagi dan lagi. Insyaallah....dengan izinnya.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...